Kisah Orang Aceh di Malaysia – VI

Sabtu, 21 April 2012

Belimbing buluh lambang keunikan masakan Aceh

Asam sunti bahan penting dalam setiap menu hidangan, pokok ditanam di pekarangan rumah

CCI02072013_00003BELIMBING buluh adalah bahan penting dalam kehidupan masyarakat Aceh. Malah, ia menjadi tanda kepada setiap rumah sebagai pelambangan identiti masyarakat itu. Secara mudahnya, jika di halaman rumah orang Aceh tiada pokok belimbing buluh, ia seperti tidak lengkap.

Oleh kerana itulah ketika penulis melangkah masuk ke kampung Aceh di Yan, Kedah, antara ayat pertama yang dilontarkan Setiausaha Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia (IMAM), Abdul Rahman Ibrahim ialah: “Cuba saudara tengok dengan teliti dan jika perasan, setiap rumah mesti ada pokok belimbing buluh sebab buahnya penting dalam setiap menu ma­sakan kami.”

CCI18062013_00001Memang tepat sekali kerana sepanjang berada di sana dan setiap kali penulis disajikan masakan orang Aceh, pasti ada diselitkan menu yang menggunakan be­limbing buluh sebagai bahannya. Malah, disebabkan buah itu bukan ada setiap masa dan mengikut musim, orang Aceh jadikan buah itu kering dan dicampur garam supaya ia tahan lama dan boleh digunakan setiap masa diperlukan.

Menu masakan Aceh, sekali pandang tidak banyak bezanya dengan orang Melayu. Selera mereka lebih kurang sama tetapi rasa masam masin adalah rencah perisa wajib mereka. Namun, tidak men­jadi masalah untuk orang Melayu menikmati hidangan mereka kerana orang Aceh di Yan sudah mengasimilasikan menu Melayu dalam masakan mereka.

Namun, meskipun sudah hidup dalam masyarakat Melayu Kedah, menu yang diwarisi daripada nenek moyang masih diteruskan dan menjadi antara hidangan wajib terutama pada majlis tertentu se­perti kenduri perkahwinan dan hari raya. Selain ketupat daun palas yang po­pular di Kedah, makanan sampingan cita rasa orang Aceh tetap diberi keutamaan dan membuka selera.

CCI18062013_00002Antara menu popular dalam masyarakat Aceh ialah jimfan, sirebuh (daging rebus), sibalu (daging kering), kuah peliek ue, penajoh tho (makanan kering), rendang asam, engkot payeh dan asam keeng. Kebanyakan makanan orang Aceh amnya adalah makanan yang tahan disimpan lama sehingga berbulan-bulan lamanya.

la berkait rapat dengan sejarah perang pada zaman dulu terutama perang menentang Belanda selama berdekad-dekat lamanya. Untuk itu, makanan kering diperlukan supaya tahan lama dan boleh dibawa ke mana-mana sama ada dalam hutan dan sambil berperang.

Antara makanan kering yang tahan lama serta popular dalam masyarakat Aceh ialah keumamah (ikan kayu) yang direbus dengan daun belimbing buluh, garam, air dan limau nipis serta dijemur di panas mentari selama berhari-hari sampai ia keras seperti kayu. Sebelum dimasak, ia direndam terlebih dulu se­lama beberapa jam, kemudian dihiris atau dipotong nipis.

CCI18062013_00000Menurut wanita Aceh di Yan, Rohani Yasin, kuih paling popular dalam ma­syarakat mereka ialah jimfan  yang berupa seperti lepat liat tapi menggunakan tepung pulut sebagai bahan asasnya. Gula, garam, pisang (apa saja kecuali pisang nangka) dan pucuk daun pisang yang masih belum terbuka.CCI18062013_00005

“Daun pisang itu dibuka dulu sebelum dijemur untuk menjadikan ia kecut tetapi tidak pula boleh dijemur terus bawah cahaya matahari. Sekadar sandarkan di dinding rumah dan kena bahang cahaya. la untuk menjadikan daun itu kecut tetapi tidaklah sampai lembik terus.

“Sekilogram tepung pulut bersamaan dengan enam biji pisang yang dilenyek bersama setengah cawan gula dan sedikit garam. Santan yang sudah dimasak, dimasukkan dalam bahan tadi dan diuli sampai sebati. Jangan banyak sangat santannya, nanti lembik sangat pula. Selepas itu, daun pisang disapu minyak kelapa sebelum diletakkan tepung uli tadi dan diguhmg bersama inti sekaya atau kelapa.

 “Jimfan popular sebagai menu utama terutama ketika kenduri perkahwinan. Intinya memang ada dua pilihan sama ada sekaya atau kelapa gula merah (sama dengan inti kuih ketayap). Bukan apa, jika orang yang ada alahan telur, jangan makan sekaya, makan inti kelapa. Jimfan selalu ada ketika hari raya. Jika tiada ketupat, jimfan sebagai ganti,” katanya sambil menunjukkan proses membuat ji­mfan.

Sebelum ini, penulis memang semar makan kuih ketayap. Jadi, apabila dihidangkan jimfan, bukan setakat sebungkus, habis jugalah sepinggan. Bukan apa kerana rasanya memang sedap serta membuatkan mulut tidak henti-henti mahu terus mengunyah. Rasa tepung pulut yang diadun inti sekaya benar-benar membuka selera.

Daging rebus atau sirebuh pula ada proses unik menyediakannya. Bukan sekadar direbus tetapi perlu dicampur de­ngan perut, hati, dan bahan lain dalam badan lembu. Paling penting, asam sunti menjadi bahan utama. Asam sunti adalah belimbing buluh kering yang menjadi bahan utama dalam kebanyakan menu orang Aceh. Bagi orang Aceh, asam sunti memang bahan asal mereka yang juga hanya mahir disediakan mereka.

“Lada, halia, bawang putih dan cili api yang ditumbuk dengan asam sunti di­rebus bersama bahan-bahan daging tadi. la direbus sampai daging enipuk sebelum dimasukkan cuka. Rasanya masam masin dan boleh bertahan lebih sebulan. la menu utama dan paling popular untuk hidangan pembangkit selera ketika sahur bulan puasa.

“Rasanya yang masam, masin dan pedas memang menu orang Aceh saja. Orang lain tidak buat menu ini. Sama juga dengan sibalu iaitu daging kering. la diambil daripada daging yang elok, tidak boleh bahagian yang ada urat. Daging, dihiris nipis sebesar tapak tangan dan dicampur garam.

“la dijemur  sampai kering selama dua tiga hari. Malamnya diletak di bawah papan dan ditindih batu supaya ia leper. Biasanya beberapa hari sebelum puasa, ibu bapa kami sudah menyediakannya. Sebelum dimakan, ia ditumbuk dan dihancurkan sebelum digoreng,” kata seorang lagi wanita Aceh, Salehah Saad.

Kuah peliek ue ialah kuah yang dibuat menggunakan kelapa masam. Sebenarnya ia bukan busuk tetapi parut kelapa itu diperap lama menjadi seperti tahi minyak. Sama seperti membuat kerisik, ia digoreng tanpa minyak dan dicampur pelbagai bahan daun serta sayur-sayuran yang sesuai.

CCI18062013_00003“Menu inilah yang paling leceh sekali proses penyediaannya. Jika mahu dimasak esok, hari ini sudah perlu cari bahannya kerana tidak semua bahan itu ada dijual di kedai. Nangka, jantung pisang, kangkung, daun binjau, betik, kacang panjang, bunga kantan dan pelbagai bahan sayuran lagi perlu disediakan awal-awal. Jangan lupa asam sunti. Se­mua itu disimpan dan proses membuatnya perlu dimulakan seawal pagi supaya sempat dimakan ketika makan tengah hari,

“Rasanya seperti gulai nangka dalam masyarakat Melayu tetapi lebih sedap sebab banyak bahan dalam kuahnya. Pembangkit selera dan aroma ialah ke­rana peliek ue yang dimasukkan ke dalamnya. Banyak juga masakan yang semakin jarang dibuat tetapi menu yang disebut tadi adalah masakan yang sukar ditinggalkan kerana sebati dengan cita rasa kami. Paling penting, orang Aceh mesti guna asam sunti setiap hari,” kata Rohani.

Uniknya masakan Aceh, menu yang sama boleh diubah daripada panggang kepada rebus, sama ada kering atau berkuah. Paling utama, setiap rumah mesti ada asam sunti. Proses membuat asam sunti juga unik. Belimbing buluh perlu dijemur selama tiga hari berturut-turut dan setiap hari perlu digaulkan tambahan garam.

“Proses itu menjadikan asam itu masin dan tahan lama. Jika disimpan dengan baik, ia boleh digunakan dan tahan bertahun-tahun lamanya. Kerana begitu pentingnya asam sunti dalam menu kami, setiap kali tiba musimnya berbuah, semua rumah mula sibuk memprosesnya. Tidak lengkap hidup kami tanpanya,” kata Salehah sambil ketawa.

Sebenarnya banyak lagi masakan istimewa orang Aceh yang dibawa terus dari Indonesia. Payeh atau pepes yang menggunakan ikan bilis atau udang kecil juga menu istimewa mereka. la adalah masakan menggunakan bahan tadi yang dikukus sebelum dibakar. Dalam proses itu, pelbagai jenis asam dan limau di­masukkan sekaligus membuktikan yang orang Aceh memang gemar makan ma­sakan yang masam dan masin.

Kuih muih juga menyerikan lagi menu mereka kerana selain jimfan, orang Aceh turut mahir menyediakan kuih bingkang, keukarah dan pengat (kuah tuhee). Ketika di Yan, hanya ada satu kedai ma­kan yang menyediakan menu masakan Aceh iaitu Warung Kenari Unggul yang dikendalikan Noor Azizah Nyak Abdullah berhampiran simpang memasuki Pantai Murni.

Air tangan isteri rahsia kerukunan rumah tangga

 

CCI18062013_00004CARA hidup wanita Aceh di negara ini tidak banyak bezanya dengan wanita Melayu termasuk dalam hal pantang larang ketika mengandung, menguruskan rumah tangga dan mendidik anak. Cuma yang membezakannya ialah wanita Aceh terlalu kuat de­ngan pegangan agama sehinggakan sukar menemui mereka di luar rumah.

Tidak seperti kebanyakan masyarakat lain yang dulunya ketika suami ke kebun, isteri turut sama membantu, wanita Aceh pula lebih banyak kekal tinggal di rumah menguruskan rumah tangga. Sudah menjadi resam dan budaya orang Aceh yang suami lebih selesa makan di rumah, justeru isteri mesti menyediakannya.

Oleh kerana itu juga, boleh dikatakan wanita Aceh pandai memasak sejak kecil kerana sudah menjadi kewajipan untuk seseorang wanita Aceh mahir memasak. Agak kurang enak didengar jika ada wanita Aceh tidak tahu memasak termasuklah sehingga hari ini.

Namun, meskipun banyak di rumah, mereka juga keluar tetapi hanya ke surau untuk belajar agama.

Antara wanita generasi tua di Kampung Aceh, Pocout Umamah Teuku Budiman, berkata peranan wanita Aceh banyak di rumah iaitu memasak dan menjaga anak serta cucu. Ini mungkin disebabkan jarang orang Aceh mempunyai bendang sekali gus menyebabkan tumpuan wanita tidak ke kebun tetapi lebih di rumah.

“Dalam hal agama, wanita Aceh perlu menguasai agama. Kami sampai hari ini ke surau untuk aktiviti kelas pengajian khusus bagi wanita. Dalam masyarakat kami, jarang seorang anak atau cucu dihantar mengaji Al-Quran dengan orang lain kerana semua ibu dan neneknya tahu mengajar. Bagi wa­nita Aceh, semuanya berpendidikan dan ia adalah keutamaan. Biarpun ke­kal di dapur tetapi pelajaran tetap ke­utamaan.

“Wanita Aceh pula sangat berani. Tidak ada masalah ditinggalkan se­orang diri di rumah. Saya sendiri ke Sumatera seorang diri. Pendek kata, jika suami meninggal dunia, tak ada masalah berdikari. Malah, di Aceh, jika suami mati di medan perang, isteri pula akan menyambung perjuangan. Di sana, ada persatuan janda yang banyak membunuh Belanda.

“Sifat sebegitu diwarisi wanita di sini. Tidaklah sampai berperang tetapi jarang rasa takut. Namun, kami setia pada suami. Jika ada orang datang ru­mah, tidak akan dibenarkan masuk tanpa izin suami. Jika sudah berkahwin, jarang sekali bercerai apatah lagi dulu orang Aceh hanya berkahwin dengan orang Aceh.

“Lelaki Aceh pun lebih suka kahwin dengan wanita Aceh atas faktor masakan. Masakan Aceh pelik dan hanya tahu dimasak wanita Aceh. Itu yang membuatkan jarang orang Aceh ber­kahwin masyarakat lain. Paling susah, ada pantang larang di mana orang Aceh tidak boleh makan ikan kacang-kacang. Dikatakan dulu ikan itu yang menyelamatkan keturunan kami yang jatuh ke laut. Jika makan, kulit jadi”putih-putih seperti panau,” katanya.

Paling unik dalam masyarakat Aceh ialah suami selalunya hanya makan di rumah. Isteri pula sanggup menunggu suaminya walaupun suaminya lambat pulang. Ini yang menjadi satu rahsia kebahagiaan rumah tangga orang Aceh. Malah, purata orang Aceh mempunyai tujuh anak dalam satu keluarga

 

Iklan

4 pemikiran pada “Kisah Orang Aceh di Malaysia – VI

  1. En azrul, senang sangat kiranya kerana anda telah banyak siket memberikan arahan mengenai peradaban budaya bangsa acheh yg ada di kg.acheh yan kedah. ini merupakan suatu yg mewakilkan khas identity yg mungkin tdk di perolehi di kawasan lain dan jg merupakan reusam budaya
    yg tak boleh hilang sebagai nilai yg tak boleh diukur kiranya.
    Di tempat sy ni pon macam tu juga resam yg ada kat aceh seberang laut ni.
    reusam tak boleh hilang, budaya indatu tetap digunakan walau berganti mengikuti zaman yg terus berubah kerana adanya modernisasi.
    kg.Aceh masih lagi menjadikan kawasan yg natual dan khas dgn hutan yg masih alami belum terjejas. Mungkin byk lg yg blm tahu bahwa di malaysia ada kampong acheh , yaitu di Yan kedah. ini jg tdk hanya masyarakat malaysia secara keseluruhan, juga di tempat saya pon kat seberang sini banyak lg yg tak tau di yan kedah ada kampong aceh yg merupakan sejarah masa lalu ketika perang acheh dgn belanda berkecamuk, maka ada sebahagian orang acheh yg bermigrasi kat, merbok, tanjung dawai, ruat dan lain2 dan kemudian byk yg sdh berpindah dari merbok ke kg.acheh yan kedah.
    Dgn adanya kisah yg anda buat mengenai resam membuat kuih muih utk menyambut maulidur rasul dan menyambuat hari raya, ini akan menjadikan bacan sbg promotion jg kiranya dan memperluas wawasan bagi yg membaca di mana pon berada kiranya. ini mengingatkan kita pada generasi berikutnya supaya jangan lupa pd budaya (bek tuwoe budaya).
    lebih baik lagi kalau en membuat kisah yg lebih lengkap lagi menganai budaya di kg.aceh yan kedah, juga kalau boleh jgn hanya di kg.acheh sahaja, tetapi bnyak lg mana 2 kawasan yg pernah ada kampong yg pernah dibina oleh orang acheh sejak masa dahulu, spt, merbok, ruat, sungai limou kalu tak silap, dan lain2.
    Teurimong geunaseeh ,dari ujung sumatera ‘Kuta Raja’ Aceh..

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s